comscore
Tumpuan :
Nasional

HSA perjelas kes lelaki digigit anjing dakwa lewat dirawat

Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Sal Atan.

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang lelaki lewat diberikan rawatan selepas digigit anjing.

Pengarahnya, Dr Sal Atan, berkata lelaki berusia 33 tahun itu mendaftar di Kaunter Triage Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA jam 5.45 petang Rabu lalu untuk mendapatkan rawatan luka akibat gigitan anjing pada paha kanannya.

“Siasatan menyeluruh telah dilakukan mengenai video yang tular menerusi akaun Tiktok dan Facebook berhubung dakwaan seorang pesakit yang tidak berpuas hati dengan engenai layanan dan perkhidmatan yang diterima di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA.

“Hasil siasatan mendapati pesakit berkenaan hadir dengan surat rujukan selepas menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan. Berdasarkan saringan awal, pesakit dikategorikan sebagai kes kecemasan bukan kritikal atau kes Zon Hijau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebetulan pada masa sama, Dr Sal berkata, terdapat 78 pesakit sedang menunggu untuk menerima rawatan di Zon Hijau, menyebabkan ada kelewatan dalam memberikan rawatan kepadanya lelaki berkenaan.

“Pihak hospital sentiasa komited dalam memastikan setiap pesakit yang datang diberikan rawatan dan layanan sebaiknya tanpa sebarang prejudis. Sebarang kesulitan yang dialami pelanggan sewaktu berurusan di HSA amat dikesali,” katanya.

Dalam video tular berdurasi dua minit 10 saat itu, seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati dengan layanan diterimanya di HSA sambil menunjukkan luka pada kaki kanannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini