Tumpuan :
Nasional

Hujan berterusan tahap waspada di 3 negeri mulai esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran, hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok hingga 31 Disember.

Sepanjang tempoh sama, cuaca ekstrem membabitkan angin kencang dan laut bergelora yang dijangka membadai beberapa kawasan perairan negara.

Dalam kenyataannya, MetMalaysia menyatakan, hujan berterusan tahap waspada dijangka dialami sembilan jajahan di Kelantan, membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu, seluruh Terengganu dan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang juga berdepan situasi sama sepanjang tempoh terbabit.

Sementara itu di Sabah, Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat juga mengalami hujan sama sehingga Selasa.

MetMalaysia menyatakan, angin timur laut yang berkelajuan di antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dijangka membadai kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan ombak mencecah ketinggian 3.5 meter.

Ia memberi amaran, keadaan laut yang bergelora itu berpotensi membahayakan bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut serta sukan air.

Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku di pesisir pantai di kawasan yang terjejas, membawa risiko limpahan air laut dari Ahad hingga Isnin.

Angin kencang yang sama turut dijangka membadai perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran serta kawasan sekitar Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan, sehingga Selasa depan.

Ombak di kawasan itu boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, menambah risiko terhadap keselamatan aktiviti laut.

Bagi perairan Condore dan barat laut Reef North, MetMalaysia mengeluarkan amaran kategori ketiga, di mana angin dijangka melebihi 60 km/j dengan ombak lebih 4.5 meter.

Keadaan itu berpotensi membahayakan semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk pekerja di pelantar minyak.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua untuk perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North.

Angin berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka melanda kawasan tersebut, memberi ancaman kepada aktiviti perkapalan, menangkap ikan, serta perkhidmatan feri.

MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama mereka yang terbabit dengan aktiviti luar serta perkapalan.

Keadaan itu dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan dan pemantauan cuaca akan terus dilakukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini