comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan lebat, angin kencang sepanjang fasa peralihan monsun mulai Khamis

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula Khamis ini (23 Mac) dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan, yang kebiasaannya menyebabkan hujan lebat berserta angin kencang di sesetengah kawasan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2022/2023 yang bermula sejak 7 November tahun lalu.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Justeru, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini.

“(Orang ramai perlu) sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan,” katanya.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Loading...
Terkini