comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan lebat gagal tamatkan masalah air dihadapi penduduk Kampung Ruhiang 

FOTO: NSTP

TAMPARULI: Masalah air yang dihadapi penduduk Kampung Ruhiang di sini sejak sebulan lalu seperti tiada berkesudahan meskipun hujan lebat lebih dua jam di daerah ini semalam.

Sebaliknya, kesulitan didepani 300 penduduk di kawasan berbukit itu kekal, apabila hujan tidak mengubah paras air pada tiga takungan yang ada untuk memenuhi keperluan penduduk, di situ.

Wakil penduduk Kampung Ruhiang, Katat Sumping, 62, berkata hujan dalam tempoh tidak lama, tidak berupaya mengisi penuh takungan yang ada itu.

“Ini kerana, kedudukan takungan itu berada dalam hutan tebal yang sukar mendapat air hujan dengan banyak, kecuali hujan benar-benar lebat berterusan beberapa hari.

“Faktor muka bumi berbukit dan hutan tebal turut menyukarkan Ruhiang memperoleh jumlah air yang banyak apabila hujan pada waktu singkat,” katanya, di sini.

FOTO: NSTP

Perkampungan yang berpenduduk etnik Dusun itu berada dalam Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli diwakili Datuk Jahid Jahim manakala Parlimen Tuaran diwakili Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Katat berkata, penduduk Ruhiang hampir terputus bekalan air, apabila sumber graviti perkampungan itu beransur kering sejak tiga minggu lalu.

“Lazimnya, apabila berlaku kemarau hingga sebulan, sumber air penduduk Ruhiang mula terjejas teruk, apabila graviti yang ada mula kering.

“Ketika musim tengkujuh pula, timbul masalah lain apabila air yang ada menjadi keruh tidak boleh digunakan penduduk untuk minum dan menyediakan makanan,” katanya.

Katat berkata, penduduk terpaksa mengambil pendekatan dengan membeli air minarel untuk memenuhi keperluan keluarga mereka.

Katanya, keadaan itu menyulitkan kehidupan penduduk Ruhiang yang mengharapkan sepenuhnya air graviti kerana perkampungan itu belum mempunyai air paip dari Jabatan Air Negeri Sabah.

Beliau menjangkakan ketiadaan hujan lebat dalam tempoh seminggu akan datang, boleh menyebabkan simpanan air penduduk di situ kering sepenuhnya.

Katat mengakui, penduduk Ruhiang ingin menikmati kemudahan air bersih, seperti dimiliki perkampungan lain di Tamparuli, namun kerajaan belum membinanya sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau berharap musim kemarau yang melanda daerah ini, berakhir segera untuk memastikan masalah dihadapi penduduk Ruhiang selesai.

Loading...
Terkini