comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan lebat lebih dua jam, tiga kampung dilanda banjir

Foto Ihsan APM

BANDAR BAHARU: Tiga kampung di daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam sejak jam 2 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, setakat jam 4.30 petang tadi, kampung yang terbabit adalah Kampung Seribu Relong, Kampung Sungai Itam Dalam dan Kampung Sungai Terap Dalam dan mula dinaiki air pada jam 3.18 petang.

“Setakat ini paras air di kawasan terjejas banjir setinggi 0.5 meter.

“Pasukan APM Bandar Baharu turut melakukan pemantauan paras air sungai, dan mendapati paras air Sungai Terungsing dan Sungai Air Punti kini berada dalam keadaan melebihi paras bahaya.

“Selain itu, hasil pemantauan mendapati air sungai mengalir laju dan deras,” katanya.

Abdul Rahim turut menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa selain menasihati penduduk supaya berpindah sekiranya paras air semakin menaik.

Beliau berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk memindahkan mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

Loading...
Terkini