SIK: Hujan lebat hampir empat jam di daerah ini, malam tadi, menyebabkan beberapa kampung dinaiki air akibat banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, banjir kilat berlaku apabila air ‘turun’ di bahagian hulu akibat hujan lebat.
Beliau berkata, dalam pada itu, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung untuk menyelamatkan tiga sekeluarga di Kampung Charuk Tenang, selepas rumah mereka dinaiki air pada 10.17 malam.
“Kesemua mereka terperangkap dalam rumah dan bimbang paras air semakin naik disebabkan ketika itu masih hujan.
“Pasukan APM Sik kemudian tiba di kawasan kejadian dan mendapati air sedikit surut dan membantu memindahkan mangsa ke kawasan selamat,” katanya di sini, hari ini.
Haisul Aisyah berkata, beberapa kampung lain iaitu Kampung Bendang Man, Kampung Chepir, Kampung Jerai di Hulu Sungai Chepir, serta Kampung Lubuk Tualang di Hulu Sungai Charuk Tebal, turut dinaiki air.
Beliau berkata, beberapa keluarga berpindah ke surau Kampung lalang dan tiga lagi keluarga ke Balai Islam Tanjung Belit.
“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka di daerah ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa