Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses semakan undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dibawa ke Parlimen.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara perkara diperincikan dalam proses itu membabitkan hukuman terhadap kes gangguan seksual yang dinilai terlalu ringan.
“Hukuman terhadap gangguan seksual sebelum ini dikatakan terlalu ringan, maka disebabkan itu ia tidak menakutkan kepada pelakunya”
“Disebabkan itu, KPWKM berbincang dari sudut hukuman terhadap gangguan seksual dimasukkan dalam proses semakan berkenaan, bagaimanapun perkara itu belum selesai setakat ini.” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak, Kasih Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri.
Dalam program itu beliau turut menerangkan kepentingan meningkatkan kefahaman terhadap isu melibatkan kanak-kanak seperti penderaan dan pengabaian.
Antara Januari hingga Mei tahun ini pihaknya mengendalikan 2,959 kes sedemikian melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat J-K-M.
Turut hadir dalam program sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.