comscore
Tumpuan :
Nasional

Huzz meninggal dunia selepas lama bertarung dengan kanser usus

PETALING JAYA: Bekas Pengarang URTV Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin meninggal dunia jam 6.10 petang tadi, di Pulau Pinang.

Menerusi perkongsian Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), di laman Facebooknya, Allahyarham yang berusia 58 tahun, meninggal dunia selepas lama menderita akibat kanser usus tahap empat.

Jelas Tengku Khalidah berita pemergian Allahyarham disampaikan kepadanya oleh adik kepada arwah, Nurul Afida Kamaludin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bernama.

“Sedekahkan al-fatihah buat allahyarham yang telah banyak berjasa kepada dunia kewartawanan kita,” katanya.

Allahyarham sebelum ini terlantar di HKL untuk menerima rawatan sejak Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Penderitaannya itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menerusi Setiausaha Politiknya iaitu Ahmad Farhan Fauzi berbesar hati menziarahi Huzz.

Antara selebriti yang turut menziarahinya sebelum ini adalah seperti Datin Sofea Jane, Erra Fazira, Ziana Zain selain isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Allahyarham sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz di sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Beliau juga penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini