comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibadah Haji DIY: Kerajaan akan beri kesedaran kepada bakal jemaah 

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi kesedaran secukupnya kepada bakal jemaah Malaysia sebelum menyertai ibadah haji secara sendirian DIY bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku di tanah suci Mekah pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, aspek keselamatan haji DIY itu antara perkara yang akan disentuh pada ‘post mortem’ ibadah haji musim 1445H/2024M.

Bercakap kepada media selepas menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang APC 2023 di Putrajaya, petang tadi, beliau berkata, pihaknya mahu rakyat Malaysia ambil iktibar dari insiden jemaah haji DIY dari beberapa negara lain yang meninggal dunia di Tanah Suci akibat strok haba baru-baru ini.

“Isu sekarang adalah bagaimana hendak kita memberi jaminan supaya jemaah haji dari Malaysia ini mendapat perlindungan daripada sudut kesihatan dan keselamatan. Kalau meninggal macam mana, urusan dia macam mana. Kalau diaorang sesat. Petugas kita boleh bantu untuk cari.

“Jadi maknanya banyak kebaikkan sekiranya jemaah haji yang pergi ini dia berdaftar dan pergi dengan cara yang mengikut peraturan sama ada di bawah TH atau yang ditentukan kerajaan Arab Saudi.” katanya kepada Buletin TV3.

Tegasnya, kaedah ibadah haji DIY ini tidak boleh dihalang mahupun dikawal oleh kerajaan Malaysia kerana secara dasarnya ia merupakan di bawah kuasa kerajaan Arab Saudi menerusi Sistem Nusuk.

Sebelum ini, Arab Saudi memaklumkan 83 peratus daripada lebih 1,300 jemaah haji yang meninggal dunia akibat strok haba, dipercayai tidak mempunyai permit haji.

Terdahulu, Datuk Mohd Na’im menyampaikan APC kepada 376 penerima terdiri daripada beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini