comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibnor Riza meninggal dunia

Ibnor Riza

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), jam 3.30 petang tadi.

Khabar duka itu dikongsi rakan artis juga penyanyi seangkatan Datin Salwa Abdul Rahman yang jelas sangat terkesan dengan pemergian penyanyi legenda terbabit.

“17.12.23. Sahabatku dah xde. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” menurutnya.

Semalam penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Isteri Allahyarham, Sarimah Suleiman bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkembangan suaminya yang menghidap kanser limfoma tahap empat.

Pada 10 November lalu, penyanyi itu menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama.

Beliau turut dilaporkan mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.

Difahamkan Allahyarham disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu, dah telah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Sejak disahkan sakit, beliau membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya.

Mengesahkan perkara itu Sarimah memberitahu, jenazah dijangka dikebumikan di Negeri Sembilan.

Ibnor atau nama penuhnya Ibnor Riza Ibrahim, 62, memulakan kerjaya seninya sejak 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM.

Allahyarham merupakan bekas kakitangan kerajaan namun bersara awal pada 1993 untuk menumpukan pada bidang seni.

Antara lagu dendangan Allayarham yang terkenal adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Sudah Terluka Merindu Pula.

Loading...
Terkini