Tumpuan :
Nasional

Ibu, anak perempuan ditahan curi produk kosmetik

 

SUBANG JAYA: Ibu dan anak perempuan ditahan polis kerana disyaki mencuri produk kosmetik di sebuah premis kesihatan dna kecantikan di Bukit Puchong, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pengurus kedai berkenaan pada jam 6.38 petang, Sabtu lalu.

Menurutnya, pengadu mendapati sebanyak lima barang kosmetik yang diletakkan di atas rak hilang membabitkan kerugian RM420.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berlaku pada 6 petang, Sabtu lalu dan dua suspek warga tempatan itu datang ke premis dan menyamar sebagai pelanggan. Suspek berjalan-jalan di dalam kedai sambil melihat barangan di rak.

“Suspek membuka kotak di rak lalu meletakkan barang dalam beg kitar semula dan meletakkan semula kotak kosong di atas rak sebelum keluar kedai tanpa membuat pembayaran di kaunter,” katanya.

Tambahnya susulan itu, suspek iaitu ibu berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia 16 tahun yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah ditahan di kawasan Petaling Jaya pada jam 1 pagi, hari ini.

Menurutnya, serbuan turut merampas lima barang kes yang dicuri dan semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah selain, si ibu positif dadah.

“Kedua-duanya direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini