comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa calon UPKK boleh rayu jika terkesan tarikh baharu

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga kepada calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang terkesan dengan tarikh baharu ujian berkenaan boleh mengemukakan rayuan berserta dokumen sokongan berkaitan sebelum 15 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, rayuan boleh dikemukakan kepada agensi pelaksana yang menguruskan peperiksaan UPKK.

“JAKIM telah menerima maklum balas daripada ibu bapa atau penjaga berkenaan calon UPKK tahun 2022 yang terkesan dan tidak memungkinkan calon menduduki peperiksaan pada 28 November hingga 1 Disember ini.

“Justeru, JAKIM bersetuju menguar-uarkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk mengemukakan rayuan kepada agensi pelaksana iaitu pihak berkuasa agama di negeri atau pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan KAFA di negeri tersebut yang menguruskan peperiksaan UPKK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, JAKIM memaklumkan pelaksanaan UPKK (Bertulis) yang sepatutnya berlangsung pada 14 hingga 17 November ini ditunda bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tarikh baharu peperiksaan itu bagi Ulum Syariah (Akidah Dan Ibadah) pada 14 November dipinda pada 28 November, manakala Sirah Jawi dan Khat pada 15 November dipinda pada 29 November.

Ujian bagi Adab pada 16 November dipinda pada 30 November, manakala Lughah al-Quran pada 17 November dipinda pada 1 Disember.

Mengulas lanjut, Datuk Hakimah berkata, keputusan rayuan akan dimaklumkan oleh agensi pelaksana kepada calon-calon yang berkenaan sahaja.

“JAKIM sentiasa prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan dan menghargai komitmen semua pihak terhadap keadilan kepada semua calon UPKK tahun ini,” katanya.

Loading...
Terkini