Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa disenarai hitam MARA, anak tak boleh masuk MRSM

Majlis Amanah Rakyat (MARA).

KUALA LUMPUR: Tindakan senarai hitam diambil Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran pinjaman di bawah majlis itu hanya bersifat sementara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ibu bapa atau penjaga yang dikenakan tindakan senarai hitam oleh MARA bagaimanapun tidak layak memohon kemasukan anak mereka ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau berkata, penyenaraian hitam itu boleh ditarik semula jika peminjam atau ibu bapa pelajar tampil kepada MARA untuk membuat penyesuaian.

“Sistem senarai hitam dikenakan kepada mereka yang tidak membayar pinjaman tiga bulan (berturut-turut), namun ia bersifat sementara kerana kita mahu peminjam datang kepada MARA dan menyelesaikannya.

“Jika tidak mampu bayar, kita buat penyesuaian semula. Lepas berjumpa selalunya mereka akan membayar dan secara automatik tidak lagi disenarai hitam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang mahu tahu sama ada tindakan senarai hitam kepada peminjam atau ibu bapa boleh dihapuskan supaya anak mereka mendapat akses kemasukan ke MRSM.

Rubiah berkata, syarat kemasukan pelajar ke MRSM ialah calon, ibu dan/atau bapa kandung adalah warganegara Malaysia, calon memohon secara dalam talian, perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) serta mendapat keputusan cemerlang manakala ibu bapa atau penjaga tidak disenarai hitam oleh MARA.

Beliau berkata, antara pinjaman yang tidak dibayar termasuk pinjaman usahawan yang ditawarkan bagi memastikan sistem perniagaan mereka dapat dinaik taraf.

“MARA banyak menawarkan pinjaman dan kalau ada isu timbul, mereka boleh merujuk kepada MARA,” katanya.

Walaupun MARA membenarkan kemasukan kepada semua pelajar yang layak ke MRSM, Rubiah berkata, layanan aspek pembayaran membabitkan pelajar daripada B40, M40 dan T20 adalah berbeza.

Katanya, latar belakang bukan keutamaan MARA dalam meluluskan permohonan kemasukan ke MRSM, sebaliknya keputusan cemerlang dalam akademik dan UKKM.

“Layanan dari sudut akademik sama tetapi kita mewujudkan pembayaran berbeza kepada M40 dan T20 untuk memenuhi kehendak dalam sistem.

“Bagi B40 yang tidak mampu, kita ada program khas dikenali sebagai Budi yang mana MARA menaja sepenuhnya kepada yang layak dengan bantuan sehingga RM2,500 setahun dan wang poket RM50 sebulan.

“Bayaran lain pun kita jelaskan dari sudut kemudahan di asrama, dobi, bayaran koperasi, jawatankuasa muafakat, dan kokurikulum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini