comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu Bapa Masih Bimbang, Sanggup Tunggu Anak Lebih Awal

FOTO: NSTP

PASIR MAS: Segelintir ibu bapa di Kelantan masih bimbang berhubung kes culik yang tular sejak kebelakangan ini walapun pihak polis sudah menafikan perkara itu.

Ada ibu bapa sanggup menunggu anak lebih awal di luar sekolah bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 2, di sini, mendapati perkarangan luar sekolah sesak dengan kenderaan ibu bapa yang menunggu anak masing-masing.

Seawal jam 12.30 tengahari, ibu bapa sudah menunggu di luar pagar sekolah sedangkan murid pulang pada hari ini adalah jam 12.45 tengahari.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Mariah, 44, berkata surat pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak sekolah berhubung peringatan kes culik sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya.

“Beberapa hari lepas saya membaca surat dalam kumpulan WhatsApp sekolah anak memaklumkan perkara itu selain banyak yang tular mengenai kes culik.

“Pada masa sama, saya juga membaca kenyataan Ketua Polis Kelantan yang menafikan perkara itu, namun bagi saya tidak salah sekiranya kita menitikberatkan isu ini.

“Sejak minggu lalu saya sentiasa menasihatkan anak yang juga murid Tahun Empat supaya menunggu di dalam perkarangan sekolah sehingga saya sampai,” katanya ketika di sini, hari ini.

Bagi Hafizul Ahmad, 38, pula memaklumkan jika sebelum ini dia akan mengambil anak lewat 15 minit kerana bagi mengelak kesesakan di luar sekolah.

Namun katanya, sejak tular kes culik, dia sanggup menunggu anak lebih awal kerana dibimbangi kejadian tidak diingini berlaku.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan memohon kerjasama rakyat Kelantan khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Katanya, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak berasas. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini