Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa mohon pelajar diberi kelonggaran guna pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah

Tinjauan pangkalan haram di Sungai Golok yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk orang ramai menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke Malaysia. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Ibu bapa di sini dan Golok, Thailand memohon pelajar diberi kelonggaran menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok bagi memudahkan mereka untuk ke sekolah.

Mereka mendakwa, ini kerana kebanyakan anak mereka di Golok bersekolah di Malaysia dan ada juga dari Malaysia bersekolah di Thailand, sudah tentu ia menyukarkan mereka apabila pangkalan haram ditutup untuk semua.

Penduduk di Golok, Ishak Ghazali, 63, berkata, dia menyokong penutupan pangkalan haram untuk individu lain, namun untuk pelajar sekolah di kedua-dua negara itu perlu diberi kelonggaran.

“Jika pangkalan haram di Sungai Golok ditutup, bagaimana anak-anak nak pergi ke sekolah. Jika nak melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), sudah tentu akan sampai lewat ke sekolah.

“Pada masa sama, untuk ke ICQS perlu membabitkan kegunaan kenderaan dan kos juga meningkat kerana lokasi agak jauh. Bukan semua ibu bapa mempunyai kenderaan dan keupayaan setiap hari untuk menghantar anak-anak.

“Justeru, kita memohon kegunaan pangkalan haram di Sungai Golok diberi kelonggaran kepada pelajar sekolah kerana ia membabitkan bilangan yang ramai,” katanya.

Katanya, dia sendiri sudah membabitkan empat generasi yang bersekolah di Malaysia kerana menjadi tradisi mereka bersekolah di sini.

“Bermula dari ayah, saya, anak dan kini cucu semua mendapat pendidikan di Rantau Panjang, di sini. Memang ada sekolah di Golok, namun ramai yang memilih untuk bersekolah di Malaysia.

“Saya memang orang Malaysia, isteri pula orang Thailand. Jika pihak berkuasa mahu pelajar turut melalui ICQS, ianya perlu diperkemaskan di kedua-dua negara supaya proses lebih cepat memandangkan pelajar perlu sampai ke sekolah sebelum 7.30 pagi,” katanya.

Semalam media melaporkan, polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Beliau sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini