
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak di awal usia perlu dibimbing oleh ibu bapa bagi menentukan personaliti kerjaya mereka supaya mereka tahu hala tuju masa hadapan.
Ini kerana, jika ibu bapa menentukan apa mereka inginkan, bimbang anak-anak akur dalam keadaan terpaksa sekali gus boleh menyebabkan mereka kemurungan kerana memendam perasaan.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad, berkata tidak dapat dinafikan, kebanyakan ibu bapa di Malaysia suka menentukan kerjaya anak-anak.
Malah katanya, ada ibu bapa didakwa memaksa anak-anak sejak dari kecil untuk ‘bekerja’ seperti menjadi penyanyi, berlakon menjadi model kerana merasakan ia kerjaya yang menguntungkan.

“Bagi anak-anak yang sudah dipatenkan kerjaya mereka oleh ibu bapa sejak kecil, jika mereka memang minat dalam bidang itu ia tidak akan menjadi satu masalah malah ramai dilihat sudah berjaya dalam bidang masing-masing.
“Namun, jika sebenarnya tidak minat, mereka sudah pasti akan merasa tertekan dan akan menjadi masalah kerana jika dipendam, ia boleh menyebabkan kemurungan,” katanya.
Beliau berkata, anak-anak yang tidak suka dengan tindakan ibu bapa yang memaksa mereka akan bermula dengan masalah kerisauan terlebih dahulu.
Namun katanya, akibat terlalu memendam perasaan, ia akan bertukar kepada kemurungan malah ada yang sehingga mempunyai keinginan untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kehidupan.
“Oleh itu, anak-anak ini perlu mendapatkan bantuan yang bersesuaian dan jika mereka ada masalah kerisauan boleh berjumpa dengan rakan, ahli keluarga atau mereka yang boleh dipercayai untuk berkongsi perasaan.
“Selain itu, mereka perlu juga mendapat bimbingan sewajarnya dengan mendapatkan bantuan daripada pakar atau kaunselor bagi mengurangkan tekanan yang dialami,” katanya.
Justeru Fauziah berkata, anak-anak digalakkan mengambil ujian psikometrik bersesuaian sejak dari usia muda yang dapat menentukan personaliti kerjaya yang bersesuaian dengan mereka.
Katanya, ibu bapa juga perlu akur dengan kerjaya pilihan anak-anak kerana ia adalah untuk masa depan mereka.
“Kesedaran kerjaya anak-anak perlu bermula seawal usia tujuh tahun lagi supaya mereka tahu apa jenis kerjaya yang ada dan yang mereka mahu.
“Ketika usia awal apabila ditanya kepada mereka cita-cita, mereka hanya mampu menjawab mahu menjadi ahli bomba, polis dan guru sahaja kerana pendedahan kerjaya yang masih kurang,” katanya.
Oleh itu beliau mencadangkan supaya murid di sekolah dibawa melawat tempat-tempat yang dapat memberikan pendedahan kerjaya selain diberikan lebih maklumat mengenai peluang kerjaya yang ada.