comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa, sekolah perlu pantau pengambilan ‘Energy Stick’ dalam kalangan pelajar

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika hadir pada sambutan Hari Perpaduan Silang Budaya Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian. – FOTO: NSTP

NILAI: Pihak sekolah dan ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap penggunaan atau pengambilan produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai ‘Energy Stick’ dalam kalangan pelajar yang kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya melarang penggunaan produk berkenaan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan pelajar.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha mengekang penggunaan produk terbabit dalam kalangan pelajar.

“Saya minta ibu bapa serta pihak sekolah mengambil perhatian berkaitan perkara ini agar anak-anak mereka tidak terjebak dengan pengambilan ‘Energy Stick’ ini.

“KKM telah mengeluarkan kenyataan berhubung produk ini dan kesannya kepada kesihatan. Jadi, saya nasihatkan kepada pelajar jangan ambil, tumpukan pada pendidikan dan jaga kesihatan.

“Luangkan masa dengan program berfaedah dan jangan ambil (Energy Stick) kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada kesihatan kita,” katanya kepada media selepas majlis Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan 2024, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook menyiarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan produk dikenali sebagai ‘Energy Stick’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini