comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Ibu, bayi lelaki maut dua kenderaan bertembung di Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan mengakibatkan ibu dan bayi meninggal dunia di KM 35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, malam tadi.

GUA MUSANG: Seorang ibu bersama bayi lelakinya yang berusia enam bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam, Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta Perodua Axia bersama bayinya, Muhammad Alfah Abdul Rahim, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami mangsa patah tangan kiri dan pinggang.

Selain itu, anak lelakinya yang berusia lima tahun patah di kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar, berkata kereta Perodua Axia yang dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Subang Selangor menuju ke Kota Bharu.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu suami mangsa yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 28 tahun itu hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Naza Ria.

“Akibat dari pertembungan itu, seorang wanita bersama bayi lelakinya berusia enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azmi berkata, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta Naza Ria tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Loading...
Terkini