comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu mengaku bersalah melacur

Tertuduh didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah terlibat aktiviti pelacuran. FOTO: NSTP

AYER KEROH: Faktor kesempitan hidup untuk membesarkan tiga orang anak usia 13, sembilan dan empat tahun berikutan suami ditahan di penjara Pokok Sena, Kedah memaksa seorang ibu melacurkan dirinya.

Itu antara fakta yang didedahkan oleh peguam tertuduh, Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham dalam perbicaraan membabitkan kes tertuduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut Nuradzlyn Sharmine, tertuduh sebelum ini berniaga kecil-kecilan, namun akibat terdesak menyebabkan dia tidak berfikir panjang dan melakukan kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu dituduh mencari langganan bagi maksud persundalan di bilik sebuah hotel di Jalan Laksamana Cheng Ho, di Bandar Raya Melaka pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 9.40 malam.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

FOTO: NSTP

Mengikut fakta kes, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Melaka Tengah susulan maklumat, pemerhatian dan penyamaran sebagai pelanggan di hotel berkenaan.

Hasil serbuan, polis turut merampas antaranya lima keping kondom, minyak pelincir, tisu, tuala, dan wang tunai RM150 disyaki hasil kegiatan pelacuran.

Menurut Nuradzlyn Sharmine lagi, ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan dia telah direman empat hari bagi siasatan kes itu.

Malah dia juga sudah insaf atas perbuatannya.

Tertuduh, 39, yang mengaku bersalah kemudian didenda RM2,500 oleh Majistret Nabilah Nizam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Haqim Zamri.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara tiga bulan.

Loading...
Terkini