comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu rayu rakaman kejadian bayi maut tercampak dari kereta

Keadaan Perodua Bezza yang terbabit kemalangan mengakibatkan seorang bayi meninggal dunia. – Foto tular

NILAI: Bayi perempuan berusia setahun lapan bulan maut dipercayai tercampak dari kenderaan dinaikinya selepas terbabit kemalangan di Kilometer 283 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kejadian pada jam 10.15 pagi itu membabitkan Perodua Bezza dipandu seorang lelaki bersama empat penumpang dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama empat penumpang.

“Siasatan awal di lokasi mendapati ketika kejadian pemandu Toyota Alphard dari Kuala Lumpur menghala Johor Bharu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kiri Perodua Bezza yang dalam perjalanan dari Kajang ke Melaka.

“Berikutan itu, Perodua Bezza berkenaan hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang Perodua Bezza dikatakan tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198,” katanya.

Sebelum itu, tular di Facebook (FB), seorang wanita meminta bantuan orang ramai terutamanya rakaman kamera papan pemuka kereta untuk menyalurkan maklumat kepadanya.

“Saya tak boleh nak rungkai macam mana kejadian yang berlaku dalam sekelip mata sedangkan suami saya memandu sehabis baik. Ajal maut di tangan Tuhan.

“Tapi ikhtiar kami usahakan. Jadi di sini saya meminta baik jasa baik rakan-rakan, sahabat, sesiapa saja yang ada terbaca post saya ini, jika ada sebarang bukti, dashcam (kamera papan pemuka) terutamanya tolong hubungi kami untuk bantu kami,” tulisnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini