comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu tiada MyKad buntu anak tidak dapat teruskan persekolahan

Jamilah tiada MyKad menyebabkan anaknya, Mohamad Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain (kiri) tidak memenuhi syarat untuk memohon MyKad. – FOTO NSTP

KUANTAN: Seorang ibu merayu bantuan pihak berwajib untuk membantu menyelesaikan proses permohonan mendapatkan MyKad bagi membolehkan anaknya meneruskan persekolahan peringkat menengah tahun depan.

Jamilah Ismail, 40, berkata berikutan dia tidak memiliki MyKad, dua anaknya, Mohamad Remy Iskandar Mohd Zahir, 11 dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 12, tidak memenuhi syarat untuk memohon MyKad bagi menggantikan Mykid.

“Sepatutnya Mohamad Ebel Zulkarnain telah memiliki MyKad sama seperti rakan sebayanya, namun kini berlaku sebaliknya.

“Saya buntu memikirkan kerana sekiranya Mohamad Ebel Zulkarnain tidak memiliki MyKad dia tidak berpeluang meneruskan persekolahan ke peringkat menengah tahun depan, katany .

Jamilah yang juga bekas isteri anggota komando, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, berkata sudah banyak kali dia berulang alik ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak 2005 bagi menyelesaikan proses permohonan mendapatkan MyKad.

Antara syarat yang perlu disediakan sebagai bukti ujarnya ialah salinan MyKad semua 10 adik-beradiknya, sijil kematian bapa dan beberapa maklumat lain.

Dakwanya, semua syarat berkenaan sudah dikemukakan dengan lengkap, namun dia tidak faham kenapa permohonan masih lagi dikatakan tidak memenuhi syarat yang diperlukan JPN.

“Keluarga menyerahkan saya kepada keluarga angkat warga Thailand dan menukar ‘binti’ saya kepada Ismail, sedangkan nama bapa kandung saya Hassan. Saya kini terputus hubungan dengan keluarga angkat.

“Saya sedia melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) bagi mengesahkan identiti hubungan saya dengan 10 adik-beradik lain sekiranya pihak JPN memerlukan sebagai bukti tambahan.

“Saya kini hanya memiliki surat pengesahan taraf kewarganegaraan sebagai bukti warganegara ini, surat akuan berkenaan tidak melayakkan saya mendapat apa juga bantuan disediakan kerajaan.

“Saya juga tidak boleh berurusan dengan bank. Saya kini berada sebaris dengan warga asing yang datang bekerja di negara ini, malah mereka lebih beruntung menikmati banyak kemudahan,” katanya.

Dia mendakwa dilahirkan di Besut, Terengganu dan memiliki surat akuan kelahiran daripada penghulu kawasan terbabit sebagai bukti yang diperlukan JPN.

Katanya, arwah ayahnya, Hassan Sulaiman berasal dari Kelantan, manakala ibunya, Mariam Senik, 75, warganegara Thailand dan kini menetap di Pekan.

Jamilah berkata, enam adik-beradiknya kini sudah memiliki MyKad selepas membuat permohonan secara daftar lewat, dia seorang sahaja yang tidak memiliki MyKad sebagai bukti warganegara ini.

“Saya merayu pada pihak terbabit supaya dapat membantu menyelesaikan masalah saya kerana sebelum ini seorang pegawai JPN di Putrajaya menyatakan sepatutnya kes saya dapat diselesaikan di peringkat JPN negeri,” katanya.

Jamilah menambah, anaknya sering menyalahkan dia yang tidak memiliki MyKad menjadi penyebab pelbagai masalah.

Mohamad Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain adalah anak kepada anggota komando, Mohd Zahir yang meninggal dunia ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah, pada 2019.

Allahyarham adalah anak kepada kepada pelakon veteran, AR Badul. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini