comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu tunggal kematian suami pasrah hilang dua anak, maut langgar tong roro

Norizan Ujak, 40, sebak ketika menceritakan anak sulung dan bongsunya maut selepas motosikal ditunggangi melanggar tong sampah roro di Lebuh SPA, dekat Stadium Hang Jebat, Krubong, petang semalam. – Foto: NSTP

MELAKA: “Kejadian berlaku depan mata dan saya hanya mampu menjerit Ya Allah anak, melihatkan anak tidak dapat elak dan melanggar tong sampah (roro) yang menutupi lorong motosikal.

“Saya terus berhenti dan terpa ‘baby’ (anak bongsu berusia lima tahun) dan mengangkatnya, namun tubuhnya sudah terkulai, tangan dan kaki patah,” kata ibu tunggal, Norizan Ujak, 40, yang kehilangan dua anak dalam kemalangan di Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dekat Stadium Hang Jebat, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, anak sulung dan anak bongsunya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqa Sofea, lima tahun, meninggal dunia ketika dirawat akibat kecederaan parah di Hospital Melaka.

Norizan berkata, kehilangan dua anak cukup menguji apatah lagi mereka kehilangan tempat bergantung apabila suaminya, Hazlin Hassan meninggal dunia November tahun lalu akibat kencing manis dan serangan jantung pada usia 44 tahun.

Ketika kejadian, anak sulungnya menunggang motosikal sambil dibonceng anak bongsu menuju ke pusara arwah suaminya di Bertam Ulu manakala dia mengekori mereka dari belakang dengan sebuah motosikal lain.

“Jalan itu memang kami lalu hari-hari. Lepas ziarah kubur, kami cadang makan malam di kedai kerana Along (Muhammad Amirul) tiada selera kerana baru baik demam dan teringin nak makan di kedai.

“Saya nampak depan mata tong roro itu diletakkan betul-betul atas bahu jalan lorong kecemasan menyebabkan anak tidak sempat mengelak kerana ada lori di lorong kanannya.

“Kalau elak sikit mungkin kena langgar dan ketika itu juga tiada pekerja kontraktor yang mengawal atau memegang bendera di jalan itu,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka malam tadi.

Norizan berkata, dia kesal kerana pihak kontraktor bertugas memotong pokok dilihat tidak peka aspek keselamatan di lokasi kerja termasuk kon diletak hampir dengan tong sampah pukal terbabit.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja bukan saja kehilangan sumber pendapatan selepas kematian suami yang bekerja sambilan mencuci kereta, malah dua daripada tiga anak serentak.

Sementara itu, suasana pilu di pekarangan Jabatan Kecemasan apabila puluhan ahli keluarga berkumpul menunggu kedua-dua mangsa.

Jenazah kedua-dua mangsa akan disembahyangkan di Masjid Bertam Ulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini