Tumpuan :
Nasional

“Ibuku, teman sekuliahku”

Fatihah Dan Ibunya, Surawati ketika menerima skrol. – FOTO: Ihsan Mohd Erwannizam bin Osmand

SHAH ALAM: Dalam rumah, Surawati Rahimin merupakan ibu buat Fatihah Zamri tapi siapa sangka, pasangan anak-beranak ini juga merupakan teman sekuliah di UiTM.

Tambah manis lagi, kedua-dua mereka juga bersama-sama menaiki pentas bagi menerima skrol bersempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke 100.

Surawati Rahimin, 46 tahun dan anaknya Fatihah Zamri, 27 tahun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Melaka.

Menceritakan pengalaman ketika memulakan pengajian di UiTM, Fatihah berkata, ibunya sendiri yang menggalakkan beliau untuk melanjutkan pengajian di menara gading sekalipun pada ketika beliau baru sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) tidak pernah terniat dalam dirinya untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi.

“Pada masa tersebut, saya berusia 19 tahun dan sedang bekerja tapi ibu yang memujuk saya untuk menyambung pengajian tapi pada mulanya saya tolak sebab tiada kawan”, katanya.

Fatihah Dan Ibunya, Surawati. – FOTO: Ihsan Mohd Erwannizam bin Osmand

Tambah Fatihah lagi, ibunya bersungguh-sungguh inginkan anaknya untuk menyambung pelajaran hinggakan ibunya sendiri melakukan carian di internet berkaitan kursus yang berkaitan dengan kerja yang dia ambil.

“Ibu saya memang bersungguh nak saya sambung belajar. Dia la yang cari semua maklumat untuk saya sambung belajar. Dia google, call UiTM semua. Hasil titik peluh dia berjaya juga pujuk saya sambung belajar” kata Fatihah ketika dihubungi.

Menurut Fatihah, dirinya mengambil keputusan hampir dua tahun untuk melanjutkan pengajian kerana pada ketika itu dia tidak ada kawan untuk melanjutkan pelajaran dan takut nanti akan berasa cepat bosan ketika belajar.

“Saya cakap pada ibu yang saya tidak mahu sambung belajar. Kemudian ibu cakap tidak apa ibu teman sambung belajar. Itu yang buatkan saya terus ubah fikiran dan setuju nak sambung belajar” jelasnya lagi.

Pada mulanya menurut Fatihah lagi, ibunya tidak mendapat tawaran kursus yang sama dengannya, namun oleh kerana kesungguhan ibunya untuk sama-sama belajar membuatkan ibunya sanggup menukar kursus kerana ingin “menemankan” Fatihah.

Setelah menerima tawaran melanjutkan pengajian barulah mereka berdua menuntut di UiTM bersama-sama dan pergi ke kelas bersama.

Fatihah juga tidak lupa untuk berterima kasih kepada bapanya yang menyokong dia dan ibunya untuk menyambung pengajian tinggi.

Baginya inilah saat yang terindah kerana dapat menghabiskan pelajaran bersama orang yang paling dekat dengannya kerana dapat menaiki pentas yang sama dengan ibunya di istiadat konvokesyen ke-100.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini