Tumpuan :
Nasional

Idrus Harun anggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC)

Tan Sri Idrus Harun.

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun antara empat individu dilantik anggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Media sebelum ini melaporkan, keanggotaan JAC yang bertanggungjawab dalam pemilihan calon sesuai untuk jawatan hakim di negara ini mencetus persoalan apabila lima kekosongan anggotanya sehingga kini belum diisi.

Satu daripadanya membabitkan kekosongan ditinggalkan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas bersara sebagai jawatan Hakim Besar Malaya pada Februari lalu.

Selain itu, sumber juga memaklumkan FMT bahawa tempoh pelantikan empat individu terkemuka yang dilantik Perdana Menteri untuk menganggotai suruhanjaya itu bagi tempoh dua tahun di bawah Seksyen 5(1)(f) Akta JAC 2009 juga sudah tamat.

Tempoh pelantikan tiga daripada mereka berakhir 3 September lalu.

Mereka ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif; Peguam Besar Negeri Sarawak yang bersara, Datu Abdul Razak Tready dan pakar perlembagaan yang juga Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Seksyen 5(1)(f) Akta JAC 2009 membolehkan empat individu terkemuka, yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam lain, dilantik menganggotai JAC.

Mereka yang dilantik ini tidak layak dipertimbangkan bagi apa-apa pelantikan ke mahkamah atasan selama tempoh jawatannya sebagai anggota dan selama tempoh dua tahun selepas terhenti pelantikannya sebagai anggota Suruhanjaya.

Sehubungan itu, hanya Raus dan Shamrahayu layak untuk dilantik semula, sementara Razak sebelum ini berkhidmat di JAC antara 17 April 2017 dan 16 April 2019.

Sementara tempoh pelantikan anggota lain iaitu bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar berakhir pada 2022.

Sumber menyifatkan hakikat itu ‘membingungkan’ berikutan kekosongan jawatan tidak diisi serta-merta apabila tempoh penyandangnya berakhir.

Pada masa ini, hanya terdapat empat anggota JAC yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut menganggotai suruhanjaya itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Ketua Hakim Negara Sabah dan Sarawak, Tan Sri Rahman Sebli.

Ketiga-tiga hakim ini bersama-sama Hakim Besar Malaya, menganggotai JAC berdasarkan jawatan tertinggi mereka di badan kehakiman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini