comscore
Tumpuan :
Nasional

Ihsan RAHMAH Swasta dan Industri tawar diskaun kepada pekerja, komuniti

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Susulan kejayaan memperkenal lima inisiatif sepanjang tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas satu lagi inisiatif di bawah konsep Payung RAHMAH iaitu Ihsan RAHMAH Swasta dan Industri.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu adalah atas permintaan pihak swasta dan industri untuk melaksanakan program berbentuk sumbangan ihsan kepada komuniti termasuk pekerja mereka.

Jelasnya, sebanyak lima program disasarkan membabitkan inisiatif tersebut pada tahun ini mengikut garis panduan Konsep Payung RAHMAH bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna.

“Pemberian diskaun makanan kepada pekerja mereka adalah peruntukan mereka sendiri (syarikat swasta dan industri) bukanlah peruntukan kerajaan, namun kita pakej ia sebagai inisiatif Ihsan RAHMAH Swasta dan Industi.

“Ada juga pihak tertentu yang ingin memperkenalkan aplikasi tertentu berbentuk memberikan insentif apabila menggunakan kad tertentu. Mereka akan mendapat rebat dan ‘cashback’ (pulangan tunai). Ini sedang kita perhalusi,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu KPDN 2024, di sini hari ini.

Menurut Armizan, KPDN akan terus memperkasa Konsep Payung RAHMAH dalam menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat.

Ia susulan hasil dapatan Kajian Impak Program Payung RAHMAH yang dilaksanakan KPDN bermula September hingga November tahun lalu yang mendapati 81 peratus responden berpuas hati dengan pelaksanaan program itu, manakala sebahagiannya berpendapat program perlu ditambah baik.

Sementara itu, jelasnya, pelaksanaan Program Jualan RAHMAH akan ditambah baik pada tahun ini melalui beberapa pendekatan.

Antaranya penganjuran Program Jualan Ihsan RAHMAH (PJIR) Musim Perayaan, perluasan Bazar Ramadan dan pelancaran Takwim Bulanan Jualan RAHMAH 2024 melalui portal rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my.

Selain itu, penambahbaikan lain merangkumi pelaksanaan projek rintis penawaran produk  barangan basah ke dalam Program Jualan RAHMAH yang sebelum ini menumpukan barangan dan makanan kering.

Loading...
Terkini