
TANJUNG MALIM: Dalam membuat pengecaman tumbuhan, penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati tren ilmu bidang ini semakin merudum sedangkan negara kita menduduki tempat ke-12 megabiodiversiti.
Pensyarah Taksonomi Tumbuhan, Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof Madya Dr Fatimah Mohamed berkata penghapusan spesies tumbuhan kian menjadi-jadi akibat desakan pembangunan.
Beliau berkata sebelum terlambat, usaha menguasai ilmu pengecaman tumbuhan perlulah diutamakan dalam agenda pembangunan.
Katanya, menyedari akan usia kebanyakan pakar dalam bidang ini semakin menuju usia persaraan, satu usaha perkongsian ilmu telah dilakukan kepada pelajar dan masyarakat setempat.
“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kepupusan bidang ini seperti usia pengamal ilmu semakin lanjut, bidang molekul semakin dominan, ketiadaan pelapis, banyaknya perisian digital, dan pekerjaan pengecaman tumbuhan tiada masa depan.
Dr Fatimah berkata pengecaman tumbuhan banyak bergantung kepada pengalaman dan penghafalan ciri, malah kaedah pembelajaran abad ke-21 tidak menitik beratkan penghafalan, yang mana menyebabkan kemahiran ini semakin hilang.

Jelasnya lagi, maklumat mudah didapati di hujung jari dan kebergantungan dan penggunaan perisian digital amat berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia, malah keinginan memperoleh maklumat dengan segera dan cepat menyebabkan kebanyakan kita lebih suka bertanya google atau ChatGPT.
“Kini, kita dengan mudah dapat mengakses maklumat melalui google dan pelbagai platform percuma selain pelbagai perisian dibangunkan dalam usaha membantu manusia dalam pengecaman tumbuhan seperti Google lens, PictureThis, PlantNet, Plantum. iNaturalist dan sebagainya.
Kini, katanya, Google Lens rata-rata digunakan dalam mengecam tumbuhan dengan hanya perlu mengimbas sahaja tumbuhan, dalam beberapa saat, jawapan diperolehi.
Namun, katanya, kesilapan pengecaman paling kerap berlaku kerana perisian ini hanya bergantung kepada maklumat yang diisi oleh manusia, malah maklumat yang diimbas amat bergantung kepada kamera telefon dan juga sudut imbasan imej.
“Sebenarnya, mata dan analisis manusia lebih tepat berbanding kamera telefon dan pengesahan pakar bidang amat diperlukan bagi memastikan pengecaman adalah tepat.
Dr Fatimah berkata kebanyakan pusat pengajian tinggi kini beralih kepada program atau kursus-kursus yang lebih relevan kepada dunia pekerjaan.
Malahan, katanya, pencapaian KPI agar peratus graduate employability (GE) yang tinggi menyebabkan banyak program bersifat klasik seperti botani ditutup atau dijumudkan sehingga menyebabkan ilmu bersifat klasik ini semakin pupus.
Tinjauan beliau terhadap peserta program yang terdiri daripada ahli kebun bandar di Perak menunjukkan harapan yang tinggi kepada satu perisian digital yang mudah untuk mengecam tumbuhan.
Sehubungan itu, Dr Fatimah bersama Prof Madya Dr Nor Nafizah Mohad Noor dan Zahid Mat Said yang dibantu oleh pakar pendidikan, Dr Nur Izwani Mohd Shapri; pelajar Doktor Falsafah, Mazatul Azrin Rahman serta fasilitator terlatih, Muhammad Hassan Basri Azman mendapat kerjasama Pengerusi Kebun Bandar, Abdul Razak Mat Taib mengadakan program pemindahan ilmu Pengecaman dan Pemuliharaan Tumbuhan yang membabitkan 30 ahli kebun bandar Proton City, Tanjong Malim yang menyertai pada 21 dan 22 Disember lalu.
“Untuk menurunkan ilmu kepada masyarakat, kami saintis bidang botani UPSI membangunkan buku “Manual Asas Pengecaman Tumbuhan” sebagai usaha menaikkan semula ilmu pengecaman tumbuhan menggunakan kepakaran manusia.
Peserta bengkel, katanya, menunjukkan kemahiran asas pengecaman tumbuhan dengan menggunakan manual dan mereka berharap agar program seumpama ini diteruskan agar masyarakat sedar akan kepentingan menanam pokok tempatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.