comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen Johor sedia terima lonjakan pelawat sempena Aildilfitri

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Johor telah membuat penyelarasan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dalam usaha menangani kesesakan luar biasa, menjelang sambutan Aidilfitri.

Ia membabitkan penambahbaikan tatakelola di dua pintu sempadan dengan Singapura demi memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, berdasarkan statistik 2023, jumlah kemasukan pelawat pada hari sebelum Aidilfitri hingga Hari Raya Kedua di dua pintu berkenaan adalah seramai 357,265 orang.

“Kami menganggarkan tahun ini jumlah pelawat akan melonjak. Justeru persiapan rapi telah dan sedang giat dilakukan demi keselesaan semua pihak” katanya.

Mengikut rekod, BSI dan KSAB menerima kemasukan pelawat seramai 41,415,834 orang dengan purata sebulan seramai 11,258,721 pelawat  dan jumlah harian pula mencecah 367,076 pelawat.

Sehubungan itu pihaknya akan membuka kaunter pemeriksaan imigresen di BSI dan KSAB secara optimum.

Katanya lagi, pasukan Quick Response Team (QRT) yang ditubuhkan pada 6 Februari 2023 akan diaktifkan. Mereka akan ditugaskan mengikut dua syif pagi dan petang bagi memberi fokus kepada kawalan lokasi yang mengalami kesesakan.

Seramai 12 pegawai QRT ditempatkan di BSI dan 20 pegawai di KBSA.

Selain itu, laluan kontra juga akan diaktifkan di laluan Dewan Bas, iaitu Balai Ketibaan dan Pelepasan di BSI mengikut keperluan.

10 kaunter kontra akan ditambah menjadikan bilangan keseluruhan sebanyak 32 kaunter.

Tambahan 6 lagi kaunter kontra kepada 20 kaunter auto menjadikan jumlah kaunter auto sebanyak 26 kaunter.

Di KBSA juga akan diaktifkan laluan kontra zon kereta sebanyak 12 kaunter tambahan kepada 24 kaunter di laluan masuk dan keluar.

Selain itu 12 kaunter hybrid juga akan dibuka untuk laluan motosikal jika keadaan memerlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini