![](https://media.buletintv3.my/2024/12/EXLmIQrC-BULETIN-TV3-A.jpg)
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 57 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi di tiga daerah berlainan di Johor Bahru, Batu Pahat dan Segamat, sejak Isnin lepas.
Pengarah JIM negeri, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 26 orang ditahan dalam Op Belanja, Op Selera, Op Kutip dan Op Dandan di kawasan komersial dikenali sebagai ‘Little Dhaka’ di Taman Tampoi Indah, di sini kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Beliau berkata kesemua individu yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki warga India, lima lelaki Sri Lanka, serta masing-masing dua lelaki dan wanita Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh berusia dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/Y4dKBaan-BULETIN-TV3-A-1.jpg)
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan 11(7)(a) serta Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kemudiannya ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rusdi dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menahan 17 lelaki warga Indonesia dan dua lelaki Bangladesh dalam Op Sapu di 10 premis rumah sewa di sekitar Batu Pahat, pada Isnin dan Selasa lepas.
Beliau berkata tindakan itu susulan aduan awam berhubung lambakan warga asing yang tinggal di kejiranan warga tempatan hingga menimbulkan rasa kurang senang dan kegusaran terhadap rakyat setempat.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/QjmAepfr-BULETIN-TV3-A-2.jpg)
“Siasatan awal mendapati warga asing ini menyewa di beberapa buah rumah sewa milik rakyat tempatan di sekitar Yong Peng dengan harga sewaan RM200 hingga RM250 sebulan.
“Kesemua ditahan berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata pihaknya berjaya menahan 14 warga Indonesia yang dipercayai menyalahgunakan pas dalam Op Bersama dan Op Selera di sebuah medan selera institusi pengajian tinggi di Segamat, dekat sini Rabu lepas.
Beliau berkata operasi itu hasil aduan awam berhubung mereka yang dipercayai bekerja di medan selera berkenaan dan beberapa vendor dikesan telah menggaji pekerja warga asing tanpa pas atau permit sah serta berniaga tanpa lesen.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/uJuV4v6B-BULETIN-TV3-A-3.jpg)
“Kesemua empat lelaki dan 10 wanita warga Indonesia berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak lima notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.