comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen Sabah hantar pulang 417 Filipina ke negara asal

FOTO: Ihsan JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 417 pendatang tanpa izin warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen di Sandakan dihantar pulang ke negara asal pada hari ini melalui jalan laut menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin itu membabitkan 349 tahanan lelaki, 41 wanita serta 27 kanak-kanak yang kesemua berumur lingkungan satu bulan hingga 66 tahun.

“Kesemua tahanan tersebut telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963, hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir lima bulan ini seramai 2,437 tahanan Filipina dihantar pulang ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan, selain pemindahan pendatang tanpa izin yang selesai menjalani proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini