Tumpuan :
Nasional

Imigresen tidak pernah lantik ejen atau orang tengah uruskan MDAC – Pengarah Imigresen KLIA

Foto hiasan

SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik ejen atau orang tengah bagi urusan pendaftaran Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) bagi pelancong asing ke negara ini.

Menurut Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ibrahim Mohd Yusof, pihaknya mengesan wujud pihak ketiga yang menipu pelancong asing dengan menggunakan laman web menyerupai MDAC dan mengenakan bayaran tertentu.

“Untuk MDAC kita guna satu sahaja iaitu talian dibawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), ada empat (laman web) yang tidak tulen, apabila mangsa masukkan maklumat dia akan divert ke tempat lain.

“Laman web itu dia display je, bila orang masukkan maklumat mereka akan dapat dulu maklumat itu, kemudian kena bayar. Sebenarnya MDAC ini percuma, tidak dikenakan bayaran pun. Ada sesetengah mangsa bayar sehingga RM300,” katanya ketika ditemui media dalam sesi ramah mesra JIM KLIA di sini hari ini.

Justeru itu, JIM jelasnya telah bekerjasama dengan semua pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat laman web palsu berkenaan.

“Apabila pelancong itu sampai, didapati rekod tiada. Walaupun mereka boleh isi semua MDAC masa tiba di sini, tetapi rugi sebab dah bayar dulu (laman web palsu), sedangkan laman web sebenar percuma,” katanya lagi.

Tambah Ibrahim, pihaknya berjaya mengesan empat laman web palsu sehingga kini.

Untuk rekod, MDAC adalah borang dalam talian yang wajib diisi semua warga asing sebelum tiba di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini