comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen tumpaskan sindiket pelacuran ‘outcall girl’

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pelacuran ‘outcall girl’ dalam operasi membabitkan 3 lokasi di sekitar ibu negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jafri Embok Taha dalam satu kenyataan berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.

Melalui operasi yang dijalankan Jumaat lalu, Imigresen menahan 32 orang perempuan warganegara Indonesia, 13 orang (Thailand), 3 orang (Vietnam) dan seorang lelaki warganegara Afghanistan berusia antara 18 hingga 36 tahun.

“Tiga orang lelaki warganegara Malaysia, seorang berusia 34 tahun, dipercayai sebagai transporter dan 2 lagi penjaga premis berusia 35 hingga 44 tahun turut ditahan. Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 52 orang.

“Hasil semakan awal mendapati, 8 orang perempuan warganegara Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelas Jafri Embok dalam kenyataan terbabit.

Dalam operasi yang sama, sejumlah kondom, peralatan seks, 8 naskhah pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah kenderaan Perodua Axia turut dirampas.

Kata Jafri Embok, modus operandi sindiket ini adalah melakukan promosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

“Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan penghantarannya ke hotel atau tempat yang dikehendaki pelanggan melalui setiap pesanan melalui seorang lelaki yang berperanan sebagai transporter.

“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan antara RM400 hingga RM1,200 mengikut pakej yang disediakan oleh sindiket dan dipercayai sindiket telah beroperasi selama 1 tahun,” jelasnya lagi.

Semua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

Manakala seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 sementara 2 lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Seramai 5 orang lelaki warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Loading...
Terkini