
SHAH ALAM: Impian Mariam melangkah ke peringkat akhir program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) terkubur apabila tersingkir pada peringkat separuh akhir yang disiarkan secara langsung dari Studio TV3, Glenmarie, di sini, malam tadi.
Persembahan Mariam ketika menyampaikan lagu Di Pintu Syurga dilihat kurang menambat hati juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan termasuk juri jemputan, Shila Amzah untuk memberi markah tinggi.
Faktor penyingkiran juga dipengaruhi oleh peratusan undian penonton yang rendah.
Bagaimanapun, Mariam menerima wang tunai sebanyak RM10,000 atas usahanya sepanjang program realiti itu.
Sementara itu, empat peserta yang bakal berentap di pentas akhir adalah Jimi, Marygrace, Kai Deva dan Zazzleen.

Pada persembahan peringkat separuh akhir, Mariam memilih lagu Di Pintu Syurga, Kai Deva (Srikandi Cintaku), Zazzleen (Sehati Sejiwa), Marygrace (Satu Harapan) dan Jimi (Sedetik Lebih).
Sebelum disingkirkan Jimi dan Mariam perlu melalui segmen ‘battle yang mana Mariam menyampaikan lagu Jagalah Diri, manakala Jimi pula memilih lagu Rahsia Tuhan.
Pentas separuh akhir membawa tema Melodi Cerita Kita di mana semua peserta Top 5 menyampaikan lagu runut bunyi drama dan filem.
Keputusan setiap minggu ditentukan berdasarkan 60 peratus markah daripada juri, dan baki 40 lagi bergantung kepada undian penonton.
Pentas separuh akhir CSOIAM dihiburkan dengan persembahan kumpulan legenda, air, Search, menerusi dua lagu Gelora Cintaku dan Fantasia Bulan Madu.
Penyanyi dan komposer dari Indonesia, Ade Govinda tampil dengan persembahan istimewa bersama Cakra Khan menerusi lagu Masing Masing dan Kamu Adalah.
Program realiti nyanyian yang mula mencipta fenomena pada 2006 itu dikendalikan oleh hos Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy.
Juara CSOIAM bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.