Tumpuan :
Nasional

Import lembu dan kerbau Australia disekat 

Foto fail Reuters

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengeluarkan arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia pada 4 Ogos lalu.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh DVS, ia susulan laporan akhbar mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) oleh pihak berkuasa Indonesia pada lembu yang diimport dari Australia.

Pengesahan tentang laporan itu telah dibuat oleh DVS dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Tindakan penggantungan itu juga adalah bersifat sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tindakan penggantungan ini bersifat sementara dan diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia itu benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari Australia dengan nilai import sebanyak RM25,547,355.00,” jelas Jabatan Veterinar dalam satu kenyataan hari ini.

DVS juga menjalankan sesi libat urus dengan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia pada 7 Ogos lalu.

DAFF bersetuju untuk berkongsi laporan hasil siasatan berkaitan dakwaan dari pihak Indonesia tersebut.

Jabatan kini sedang menunggu laporan penuh dari DAFF untuk tindakan selanjutnya.

Jabatan Veterinar memberi jaminan sektor ternakan bebas dari sebarang penyakit serta memastikan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut protokol dan tatacara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Loading...
Terkini