comscore
Tumpuan :
Nasional

Indahnya berbagi, semakin lapang rezeki

Oleh Izzatie Rizan

CYBERJAYA: “Tak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah”.

Hikmah itu dirasai sendiri satu-satunya gerai yang melaksanakan konsep menu Rahmah di Cyberjaya.

Bahkan gerai yang diusahakan Muhammad Sulhasbi Mohamad Tahir, 28, turut mengetengahkan konsep unik mendidik masyarakat dengan memperkenalkan menu rahmah berasaskan 28 nama jemaah menteri ketika ini.

Beliau berkata meskipun Cyberjaya dikategorikan kawasan elit, namun disebaliknya ada golongan yang terkesan dek kenaikan kos sara hidup termasuk golongan mahasiswa di empat universiti berdekatan kawasan itu.

Sulhasbi berkata banyak kali dia berdepan, pembeli yang tiba-tiba mengehadkan pembelian di gerainya gara-gara kekurangan wang.

“Saya memang nak menolong golongan-golongan miskin dan B40 terutamanya pelajar,”

“Di Medan Selera ini saya mempunyai dua buah gerai sebelah menyebelah…bagaimanapun untuk memperkenalkan menu rahmah ini saya buka satu gerai khas untuknya supaya lebih fokus kerana saya tahu di zaman kekangan ekonomi 2023 ini banyak orang akan berjimat cermat terutama dari segi makanan,”

“Meskipun ada peniaga yang kata rugi buat menu ini, tapi tidak bagi saya, Alhamdulillah jualan saya memberangsangkan malah boleh cover modal dan bayar gaji pekerja,” katanya.

Meniaga di Medan Selera Sport Arena sejak tiga tahun lalu,dia sebenarnya tidak menyangka kreativitinya menamakan set Menu Rahmah dengan cara unik menarik perhatian pelanggan.

Antaranya set Perdana Menteri yang terdiri daripada nasi putih, ayam kari, sayur kacang dan sambal atau soto ayam.

Untuk set Mohamad Sabu (nasi putih, ayam masak merah, sayur taugeh dan sambal atau lontong sayur) serta set Anthony Loke pada Rabu.

“Memang ramai anak-anak muda tak kenal menteri dan portfolio mereka, jadi saya buat macam nie sekurang-kurangnya membantu generasi kini kenal siapa para jemaah menteri kita,” tambahnya.

Konsep berbagi rezeki turut diamalkan pengusaha durian, Khairul Fahmy Md Yasin.

Katanya sejak menjual durian rahmah pada harga RM4.99 satu bekas sejak Jumaat lalu hasil jualannya tetap sama seperti hari biasa malah semakin dimurahkan rezeki.

“Ada satu hari tu, saya terima seorang pelanggan tiba-tiba je dia datang depan gerai saya nak minta izin untuk bau durian yang saya jual,”

“Saya ingat dia main-main rupa-rupanya memang dia guna masa 10 minit hidu bau durian dan pulang… peristiwa itu sangat menyentuh hati saya.

“Sejak itu, saya tetap niat untuk berbagi rezeki namun seperti tak percaya…lebih banyak kita ‘memberi’, sebaliknya saya dapat lebih,” ulasnya.

Bagi Menu Durian Rahmah, dia meletakkan isi durian kampung dan durian kahwin untuk pelanggan.

Untuk berlaku adil dan elak ada pihak mengambil kesempatan menjual semula, had tiga bekas diperuntukkan untuk seorang pelanggan pada hari biasa manakala dua bekas pada hujung minggu.

Mengulas lanjut inisiatif itu akan diteruskan sehingga habis musim durian pada bulan depan dan disambung semula musim besar pada Jun nanti.

Loading...
Terkini