comscore
Tumpuan :
Nasional

Indeks Persepsi Rasuah: SPRM sasar tingkat kedudukan Malaysia ke tangga 50, tahun ini

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin Malaysia mampu mencapai kedudukan tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang, menerusi beberapa strategi termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata untuk tahun ini pihaknya menyasarkan peningkatan kedudukan negara ke tangga antara 55 hingga 50.

CPI negara tahun lalu naik empat anak tangga ke kedudukan 57 dari 61 pada 2022.

Dalam konteks ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura yang berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Beliau akui tugas itu bukan mudah, namun yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kedudukan Malaysia yang meningkat saban tahun.

“Tetapi untuk ‘quick win’ sekarang ini, tindakan SPRM di mana menguatkuasakan undang-undang, pendidikan masyarakat dan membetulkan tata kelola dan undang undang mana yang lapuk untuk diperbaiki.

“Ini kerana ia juga menjadi persoalan oleh Transparency International untuk melihat bagaimana kita berubah atau tidak, kita memperbaharui atau tidak sistem tatakelola dan undang undang di negara kita ini yang akan menyebabkan berlakunya rasuah,” katanya kepada Buletin TV3 selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama.

Dalam mendepani cabaran membanteras rasuah yang semakin kompleks, Tan Sri Azam berkata ia menuntut SPRM melakukan pelbagai perubahan termasuk penggunaan teknologi dan teknik baharu dalam penyiasatan.

SPRM menyambut ulang tahun ke-57 hari ini dan sejak penubuhannya 1 Oktober 1967, SPRM yang sebelum itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah berjaya membongkar kes-kes profil tinggi yang menyebabkan ketirisan wang serta kehilangan dana negara sehingga berbilion ringgit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini