comscore
Tumpuan :
Nasional

Individu buang sampah di luar tong disediakan, dikompaun RM1,000 seorang

Antara individu yang dikesan membuang sampah di luar tong disediakan dalam kawasan Majlis Daerah Machang. Foto NSTP/ihsan pembaca.

KOTA BHARU: Beberapa individu yang melakukan kesalahan membuang sampah di luar tong disediakan sudah dikenal pasti selepas rakaman video mengenai kejadian itu tular sejak kelmarin.

Individu terbabit akan dikenakan tindakan tegas iaitu kompaun RM1,000 setiap seorang kerana tindakan mereka itu menjejaskan kebersihan kawasan itu, sekali gus menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata semua individu itu dikenal pasti menerusi sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran tong sampah.

“Kesalahan itu dikenakan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) MDM 5(2), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2019 yang boleh dikompaun sebanyak RM1,000.

“Sehubungan itu, pihak Majlis Daerah Machang (MDM) menggesa individu terbabit tampil ke pejabat bagi membuat bayaran tawaran kompaun dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pihak MDM akan mengambil tindakan tegas ke atas kesalahan yang dilakukan dengan kadar kompaun maksimum bagi kesalahan terbabit.

Katanya, dalam usaha menjaga kebersihan dan kesejahteraan, pihak MDM memasang CCTV di beberapa lokasi tapak tong sampah dan taman awam bagi memantau individu yang ingkar dan membuat kekotoran.

“Semua penduduk dinasihatkan membuang sampah ke dalam tong disediakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini