comscore
Tumpuan :
Nasional

Individu positif COVID-19 wajib pakai pelitup muka semasa mengundi

Foto hiasan.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka ketika membuang undi pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain pula adalah amat digalakkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengundi positif COVID-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, selain perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

“Menjelang hari pengundian bagi PRU-15, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil inisiatif untuk menasihatkan orang ramai supaya mengikuti beberapa saranan kesihatan. Ini bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan dengan selamat terutamanya dari segi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

Selain itu, semua pengundi dinasihat menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi dan disyorkan membawa pensanitasi tangan sendiri.

Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 juga diingatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

“Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU-15,” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini