comscore
Tumpuan :
Nasional

Individu sihat berumur 18 tahun ke atas disyor ambil dos penggalak kedua

Foto hiasan.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Individu yang sihat dan berumur 18 tahun ke atas menjadi kumpulan terbaharu yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini, kadar pengambilan dos berkenaan masih rendah iaitu kira-kira 519,839 orang.

“Syor kita dahulu hanya kepada kumpulan tertentu yang berisiko tinggi, sekarang ini kita syorkan mereka berusia 18 tahun ke atas yang tidak mempunyai masalah kesihatan boleh menerima vaksin dos penggalak kedua.

“Kita akan hantar semula pautan janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang media mengenai situasi semasa COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, dos penggalak kedua sebelum ini disyorkan kepada individu berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, penyakit kronik, sistem imun lemah serta ibu mengandung.

“Kita harap rakyat Malaysia yang belum menerima suntikan dos penggalak kedua untuk berbuat demikian. Tiada paksaan, ini kemudahan untuk rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy menggalakkan orang ramai untuk terus melaksanakan langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS) serta melaporkan setiap ujian COVID-19 yang dijalani bagi membolehkan KKM mengetahui kadar positiviti sebenar.

Beliau turut menasihati pesakit COVID-19 yang lanjut usia dan mempunyai masalah kesihatan kronik untuk merujuk ke fasiliti kesihatan awam terdekat bagi mendapatkan rawatan antiviral, Paxlovid.

“Kita banyak stok Paxlovid yang boleh digunakan dan ubat ini berkesan kepada mereka yang berisiko yang dijangkiti COVID-19 untuk elak daripada jangkitan itu menjadi serius.

“Yang kita risau bukan soal bilangan kes tetapi gejala dan saya minta tolong sangat terutama kepada rakyat untuk menjaga ahli keluarga yang berisiko tinggi dalam tempoh masa beberapa minggu ini yang mana kita berdepan dengan kenaikan kes harian COVID-19,” katanya.

Loading...
Terkini