comscore
Tumpuan :
Nasional

Individu, syarikat terbabit dalam dagangan wang kripto sudah dikenal pasti – LHDN

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Beberapa individu dan syarikat yang menjalankan perdagangan mata wang kripto dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil cukai dan menambah baik pentadbiran cukai negara sudah dikenal pasti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati kekerapan transaksi dagangan mata wang kripto itu adalah tinggi dan LHDN kini dalam proses semakan data untuk menentukan sama ada berlaku isu percukaian atau tidak.

“Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai.

“Mereka menjalankan aktiviti ini dalam jumlah (merujuk kepada kekerapan transaksi) yang tinggi dan tidak membuat apa-apa pelaporan kepada kita,” katanya kepada media selepas menyampaikan sijil penyertaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG), di sini, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan operasi pematuhan khas LHDN, Ops Token diadakan untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto di mana ia telah diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (CSM) di 10 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang secara serentak.

Abu Tariq berkata, mana-mana individu yang terbabit dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia dan mereka yang kurang pasti mengenai sistem percukaian tersebut boleh menghubungi pihak LHDN atau merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas : https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, program TCG dapat memberikan pemahaman yang lebih meluas ke atas pengurusan organisasi pembayar cukai dan prosedur tadbir urus percukaian dan kawalan risiko percukaian selain dapat meningkatkan hubungan antara pembayar cukai dan LHDN bagi membolehkan isu percukaian diselesaikan secara konsultasi berbanding konfrontasi.

“Melalui TCG, sesebuah organisasi dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang peraturan cukai yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan dan mengukuhkan sistem dalaman syarikat bagi memastikan pematuhan cukai secara berterusan,” katanya.

LHDN melancarkan TCG pada 1 Mac 2022 sebagai satu daripada inisiatif memperkasakan aktiviti pematuhan secara sukarela dengan fokus ke arah kerjasama utuh antara pihak pembayar cukai dengan LHDN sebagai pentadbir cukai negara.

Pelancaran program itu membabitkan dua fasa utama iaitu projek rintis yang bermula pada 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2024 dan bakal diikuti dengan pelaksanaan penuh TCG bermula 1 Julai ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini