comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Indonesia sambut baik perubahan dasar urus pekerja asing Malaysia

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Indonesia menyambut baik perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Dr Ida Fauziyah, dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna H. Laoly, semalam.

Saifuddin berkata, persetujuan berkenaan akan dimanifestasikan melalui perbincangan di peringkat pegawai dalam mekanisme jawatankuasa sedia ada antara kedua-dua negara.

Foto: Kementerian Dalam Negeri

“Indonesia adalah negara pertama yang dilawati dalam rangka lawatan kerja delegasi Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia ke negara-negara sumber terpilih.

“Tujuan utama lawatan kerja ini bagi menyusul keputusan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada awal Januari lalu khususnya yang terkait dengan pengurusan penggajian pekerja asing.

“Pertemuan ini (antara beliau bersama Ida dan Yasonna) ditunjangi komitmen pucuk pimpinan kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia sentiasa dilindungi pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: Kementerian Dalam Negeri

Saifuddin berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau telah menerangkan mengenai perubahan dasar di Malaysia berkenaan pekerja asing merujuk kepada penjajaran pengurusan pekerja asing.

Ini termasuk penerangan tentang Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal untuk memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

“Selain itu, saya turut bangkitkan tentang beberapa tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera susulan keputusan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia bagi menambah baik pengurusan pekerja asing Indonesia di Malaysia.

“Ini termasuklah pengurangan tempoh masa dan kos migrasi yang terkait dengan penggajian pekerja asing serta mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja asing,” katanya.

Mengulas lanjut, perbincangan turut menyentuh perihal penguatkuasaan undang-undang imigresen dan perburuhan melibatkan pekerja Indonesia, pengurusan penghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan turut dibincang bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik.

“Lawatan ini juga merekodkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama merentasi portfolio kementerian-kementerian tertentu,” katanya.

Loading...
Terkini