Oleh : Amirulhakim Lokman
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri mahu sinergi pensijilan halal diperkasa secara mampan bagi mempromosikan perdagangan penting membabitkan industri itu di negara ini serta mampu menembusi pasaran global.
Ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk itu potensinya akan diperkasa menerusi penyelarasan sijil Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Menerusi dua agensi ini, pensijilan halal berpotensi dibangunkan dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Industri halal, pertamanya pensijilan harus diangkat lagi biar menjadi contoh bukan sahaja dari segi halal tetapi kecekapannya, pendidikan yang bermutu dan keupayaan memberi kelulusan halal dengan sangat cepat dan pantas.
“Sinergi di antara pensijilan dan promosi dan perdagangan itu penting, justeru platform seumpama ini memberikan ruang kepada bukan sahaja yang terkenal malah industri tempatan termasuk yang kecil dan sederhana“ katanya ketika berucap di Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2023, ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Tambahnya, setiap langkah dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan pensijilan mestilah selari dengan perkembangan industri semasa, terutamanya dengan luar negara.
“Bila ada pengkhususan dan sinergi bersama industri tempatan, dapat mengembangkan industri halal di negara ini, sekali gus memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang diiktiraf mempunyai sijil halal diterima dunia.”
Selaras usaha itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal menerajui Jawatankuasa Kabinet bagi memanfaatkan sepenuhnya ekosistem halal negara yang berpotensi mencipta pasaran halal global.