Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Industri halal mampu memenuhi aspek ekonomi Islam yang tidak dapat dikuasai sektor kewangan apabila dilihat hanya memenuhi keperluan golongan tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika dilihat dari segi semangat maqasid syariah, ada usaha dan upaya kepada peningkatan dalam mempertahankan ekosistem halal secara menyeluruh.
“Melalui industri halal, kita mampu memenuhi suatu aspek yang lemah yang tidak dapat dikuasai umumnya dalam industri atau sektor kewangan iaitu dapat menyantuni dan melepasi kelompok yang selalu dianggap berdagang dan berniaga elit kepada masyarakat terbanyak.
“Industri halal ini akan menyentuh setiap petani, nelayan, pengusaha kecil dan sederhana (PKS) malah kedai-kedai runcit kerana ia dapat memastikan penyertaan yang lebih meluas,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia MIHAS 2024 hari ini.
Menurut Anwar, setiap kali lawatannya ke luar negara, perbincangan berkaitan industri halal akan pasti akan disentuh.
“Kunjungan kita ke luar negara Asean, China, Eropah dan negara Arab..baru-baru ini Rusia, hampir tidak terlepas bicara dengan pemimpin-pemimpin yang menekankan keperluan supaya Malaysia memberikan kerjasama bukan sahaja pensijilan, bahkan perdagangan dan kegiatan halal.
“Kita mesti pertahankan ekosistem halal secara menyeluruh. Pensijilan masih kita ketuai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Martrade dalam usaha menerobos ke peringkat antarabangsa.
“Kini kita saksikan peningkatan pengguna halal mencecah satu jumlah lebih besar ke seluruh pelosok dunia dan antarabangsa,” katanya.
Jelasnya, sektor halal tentunya didorong oleh faktor-faktor lain termasuk penambahan nilai, kebersihan dari segi kesihatan serta keaslian yang telah mengangkat produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke taraf yang lebih tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.