comscore
Tumpuan :
Nasional

Ingatkan kedai kopi.. rupanya pusat judi

Polis dengan kerjasama TNB melaksanakan Ops Pemotongan Khas di premis yang menjalankan kegiatan judi di daerah Seremban. FOTO: Ihsan PDRM

SEREMBAN: Di sebalik rekaan dan dekorasi yang menarik, rupa-rupanya enam premis di daerah ini yang kononnya menjalankan perniagaan ‘coffee house’ dikesan menjalankan kegiatan perjudian.

Premis berkenaan diserbu polis sebelum ini dan semalam, dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ada sesetengah premis yang pernah diserbu beberapa kali, namun masih berdegil menjalankan aktiviti berkenaan.

“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban bersama TNB menjalankan satu operasi iaitu Ops Pemotongan Khas di dalam kawasan daerah ini, petang semalam.

“Dalam operasi ini, pihak polis dan TNB mengambil tindakan pemotongan serta pembekuan utiliti terhadap premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi ini, enam premis berjaya diambil tindakan bagi pemotongan premis dan pembekuan utiliti selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Ini adalah tindakan susulan selepas diserbu sebelum ini bagi membendung dan mengekang penganjur untuk meneruskan kegiatan haram itu memandangkan ada premis yang masih meneruskan operasi walaupun pernah diserbu,” katanya.

Justeru, pihaknya memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini