comscore
Tumpuan :
Kes

Ingkar notis henti kerja, dua tapak projek ECRL disita

Penguat kuasa menyita tapak pembinaan ECRL yang ingkar notis henti kerja. -FOTO: Ihsan MPHS

HULU SELANGOR: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerbu dua tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sekitar Serendah, dalam satu operasi bersepadu kerana ingkar notis henti kerja (SWO), semalam.

MPHS berkata, tindakan itu diambil susulan aduan penduduk setempat berhubung gangguan membabitkan pergerakan keluar masuk jentera berat di tapak pembinaan terbabit.

“Operasi ini susulan aduan diterima MPHS daripada penduduk sekitar tapak pembinaan yang terkesan dengan aktiviti keluar masuk lori dan jentera yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

“Anggota operasi mendapati kerja-kerja masih lagi diteruskan walaupun SWO untuk menghentikan kerja diserahkan kepada pengusaha tapak projek ECRL pada 8 dan 10 Mei.

“Antara aktiviti yang dilakukan di tapak seperti mengorek, memotong tanah, membina bangunan tapak perkhemahan pekerja baru dan pembinaan muka terowong exit Serendah di kawasan belakang Desa Anggerik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, 11 jentera berat disita dalam operasi jam 10.15 pagi itu yang disertai 37 anggota MPHS bersama anggota polis.

MPHS berkata, pihaknya memasang pita kuning di laluan utama ke tapak pembinaan bagi memastikan tiada lagi kerja-kerja tanah dilakukan di lokasi berkenaan sehingga semua syarat dipatuhi pihak syarikat.

“Tindakan diambil di bawah seksyen 70(A)(1) dan seksyen 70(A)(11) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Pihak syarikat telah melaksanakan kerja tanah tanpa kebenaran dan gagal mematuhi arahan MPHS untuk menghentikan kerja-kerja di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini