comscore
Tumpuan :
Nasional

Ini amanah rakyat yang harus dipikul sebaik mungkin – Fadillah

KUCHING : Datuk Seri Fadillah Yusof menyedari tanggungjawab besar menanti dengan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteridalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru katanya, ia perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

Ahli Parlimen Petra Jaya yang turut diberi tanggungjawab sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelantikannya adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, jawatan itu bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.

“Insya Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kita memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.

“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan
Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan sejurus selepas pengumuman barisan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

Menurut Fadillah, beliau turut menjunjung kasih kepada Yang diPertuan Agong, di atas kebijaksanaan dan nasihat baginda, yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik Negara.

“Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi Negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Abang Openg, selaku Pengerusi GPS serta seluruh kepimpinan parti, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi,” katanya.

Fadillah, 60, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpengalaman luas dalam Kabinet Persekutuan dan pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri.

Beliau mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013 dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak dan terus diberi kepercayaan mengetuai kementerian itu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos tahun lalu.

Loading...
Terkini