Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Tragedi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Ayer Keroh malam tadi yang meragut tujuh nyawa cukup tragis dan meruntun jiwa.
Sehingga kini, siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila bas persiaran yang membawa 27 penumpang itu terlanggar sebiji tayar lori di laluan tengah lebuhraya berkenaan.
Tayar itu dipercayai tercabut dari sebuah lori dari laluan sama. Berikut beberapa tragedi kemalangan maut yang dipercayai berpunca tayar pecah.
Berikut merupakan kemalangan maut yang pernah berlaku akibat tayar pecah.
6 Oktober 2024
Kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) maut akibat tayar pecah
Seorang pembantu am MPJ meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya mengalami tayar pecah, menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan di Jalan Kesang Pajak, Jasin.
17 Mei 2024
Nahas tiga lori di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
Pada 17 Mei 2024, tayar lori pecah menyebabkan kemalangan maut yang melibatkan tiga buah lori di KM367.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Slim River. Seorang pemandu lori membawa muatan telur ayam, Hoo Yoon Wah, 61 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
5 Ogos 2023
2 beranak maut dalam kemalangan di Nilai
Pada 5 Ogos 2023, seorang lelaki berusia 30 tahun dan bayi lelakinya berusia dua tahun maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM276.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nilai. Kemalangan berlaku selepas tayar kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka pecah, menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan dilanggar oleh dua kereta lain.
10 April 2024
Tiga warga Bangladesh maut di Kampar
Pada 10 April, tiga warga Bangladesh maut manakala seorang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas akibat tayar pecah di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Kampar.
23 Jun 2024
Lelaki maut, bayi tujuh bulan parah di Lebuh AMJ Melaka
Pada 23 Jun 2024, seorang lelaki maut manakala seorang wanita dan bayinya yang berusia tujuh bulan cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) – Rembia di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.