KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan inisiatif baharu bantuan kewangan dikenali sebagai Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini, beliau berkata, bantuan kewangan itu membabitkan antara RM250 hingga RM800 setahun dengan bergantung pada kelayakan penerima.
“Penerima yang layak ialah rakyat Sarawak yang tinggal di Sarawak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM800.
“Warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 dan ke bawah pula akan menerima bantuan RM400, manakala orang bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250,” katanya sambil menambah bantuan berkenaan akan membantu mereka membeli barangan keperluan asas.
Abang Johari memaklumkan bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM450 juta pada tahun depan yang memberi manfaat tidak kurang daripada 850,000 penerima. Kebanyakan penerima SKAS juga akan menerima sumbangan kewangan bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Sementara itu, Abang Johari turut memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama berkaitan bebanan kos pendidikan anak-anak mereka, bawah belanjawan negeri tahun depan.
Beliau berkata, pelajar pengajian tinggi Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah akan menerima bantuan kewangan yang hanya diberikan sekali dalam bentuk wang saku bernilai RM1,200.
“Bantuan kewangan itu akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan purata isi rumah RM1,500 atau kurang sebulan.
“Wang yang diberikan akan dibelanjakan bagi membeli makanan dan barangan keperluan untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup. Bawah belanjawan ini, RM30 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini,” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 30 peratus bagi graduan yang telah membayar balik 30 peratus atau lebih untuk pinjaman mereka.
“Bagi 2024, terdapat 5,419 peminjam yang layak dengan jumlah bantuan kewangan RM26.15 juta. Pada 2025, peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan bagi tujuan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, baucar buku bernilai RM500 dan inisiatif komputer riba percuma untuk pelajar universiti daripada kumpulan B40 juga akan diteruskan tahun depan, dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM2 juta dan RM30.5 juta. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.