PETALING JAYA: Inisiatif tanaman komiditi sawit menerusi program Tanam Semula Sawit menjadi antara tumpuan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kepada Menteri Perladangan dan Komiditi ketika sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan.
Mohd Isam ingin mengetahui jumlah pekebun kecil yang telah memanfaatkan program itu dan perancangan kementerian untuk memperluas inisiatif itu kepada pekebun kecil getah yang ingin beralih kepada tanaman komoditi sawit.
Pada sesi sama, langkah tegas kerajaan menangani isu sindiket ‘counter setting’ yang membawa masuk warga asing didalangi penguatkuasa agensi yang bertugas di pintu masuk negara, turut menjadi tumpuan dan akan disuarakan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Menteri Dalam Negeri ketika sesi jawab lisan.
Selain itu, isu perkembangan kemahiran teknologi, pendigitalan pendidikan, kekangan peralatan di sekolah-sekolah luar bandar akan dikemukakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh kepada Menteri Pendidikan.
Turut menjadi tumpuan, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati yang meminta Menteri Digital menyatakan langkah-langkah kementerian dalam menghadapi cabaran etika, peraturan dan perundangan berkaitan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI)
Blockchain, Cloud computing dan Quantum technology.
Usai sesi jawab lisan, Dewan Rakyat disambung pula dengan bacaan kali kedua untuk dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Rang Undang-Undang Perlembagaan (pindaan) 2024, antara lain bertujuan meminda perkara yang melibatkan hal-ehwal kewarganegaraan.
Turut disambung bacaan kali kedua ada Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (pindaan) 2024 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pihak yang melakukan pencemaran membayar kos bagi memulihkan sistem bekalan air.
Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.