comscore
Tumpuan :
Nasional

Inovasi: Mosti Wujud Tiga Intervensi Sokong Perkembangan Syarikat Pemula

Datuk Seri Dr Adham Baba.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengenal pasti tiga intervensi bagi mewujudkan ekosistem kondusif untuk menyokong perkembangan syarikat pemula berasaskan inovasi dan teknologi di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata intervensi itu antaranya mempertingkatkan program inkubasi syarikat pemula yang diterajui korporat dan mendorong pengkomersialan harta intelek (IP) penyelidikan antara syarikat pemula dengan korporat melalui kaedah reverse pitch.

Selain itu, katanya intervensi itu turut menggalakkan percambahan spin-offs hasil daripada penyelidikan institusi pengajian tinggi menerusi pemantapan dasar berkaitan.

“MOSTI memandang serius pemerkasaan inovasi khususnya bidang keusahawan yang dilihat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Platform Perniagaan Inovasi ASEAN ke-36 (AIBP) di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata ekosistem inovasi dan syarikat pemula yang kondusif amat penting dalam menggalakkan lebih banyak pelaburan kepada produk dan perkhidmatan inovasi.

Beliau berkata platform MyStartup yang dilancarkan tahun lepas telah merekodkan pendaftaran sebanyak 3,567 syarikat pemula berasaskan inovasi dan teknologi setakat ini, dengan 16 intervensi telah dikenal pasti untuk menyokong perkembangan sektor itu di Malaysia.

Dr Adham berkata kategori inovasi adalah satu daripada lima kategori yang dibahagikan daripada 16 intervensi, dengan empat lagi kategori ialah pembiayaan, bakat, dasar dan peraturan, serta ekosistem pasaran.

Mengulas mengenai hasrat Malaysia untuk mengembangkan pasaran kenderaan elektrik (EV), beliau berkata MOSTI menerusi NanoMalaysia Bhd giat menerokai pelbagai intervensi teknologi daripada sumber tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan karbon bagi sektor pengangkutan.

Oleh itu, beliau menjemput komuniti perniagaan untuk berkongsi pengalaman dan meneroka peluang yang ada bagi menjalin kerjasama khususnya dalam pemerkasaan inovasi melibatkan EV.

AIBP tahun ini yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini adalah platform pertukaran pengetahuan antara pemain industri dengan pakar pasaran untuk berdagang, berinovasi, serta menerokai potensi kolaborasi diterajui sains, teknologi dan inovasi. – BERNAMA

Loading...
Terkini