comscore
Tumpuan :
Nasional

Insentif tunai Dasar Gaji Progresif: 290,659 majikan layak memohon

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 290,659 majikan layak memohon insentif tunai melalui Dasar Gaji Progresif (DGP) yang akan memanfaatkan lebih enam juta pekerja sektor formal.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, DGP boleh dimanfaatkan oleh 6,335,971 pekerja sektor formal yang menerima gaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.

Katanya, semua majikan yang layak memohon insentif tunai itu adalah daripada lima sektor terpilih iaitu pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti profesional, saintifik, dan teknikal.

“KESUMA ingin menyeru majikan yang layak untuk memohon DGP supaya tampil membuat pendaftaran bagi memanfaatkan insentif tersebut demi kelestarian sektor pekerjaan.

“Sebarang maklumat lanjut dan permohonan bagi projek rintis Dasar Gaji Progresif, pihak majikan boleh melayari laman web https://www.gajiprogresif.gov.my/,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan projek rintis DGP yang akan dilaksanakan mulai Jun hingga Ogos depan, membabitkan 1,000 majikan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.

“Sehubungan itu, sesi Town Hall diadakan bagi memperkenalkan projek rintis DGP berserta maklumat terperinci khusus kepada majikan yang layak memohon inisiatif tersebut.

“Sesi Town Hall ini juga memberi peluang kepada pihak majikan dan pekerja untuk menyuarakan pandangan, kebimbangan, dan cadangan mereka mengenai dasar yang dicadangkan. Maklum balas ini penting untuk memastikan dasar tersebut berkesan dan praktikal apabila dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya sesi Town Hall, kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan gaji selari dengan produktiviti dapat dipertingkatkan.

Katanya, ia adalah langkah penting dalam usaha mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup pekerja.

“DGP dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

“Pengenalan dasar baru ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini